Saturday, September 17, 2011

Sejarah

Kecoh Malaysia tentang sejarah baru-baru ini. Semuanya bermula dengan ucapan Mat Sabu dalam satu siri ceramahnya tentang kejadian Bukit Kepong di mana beliau menyatakan bahawa mereka yang melakukan serangan ke atas rumah pasong itu adalah pejuang kemerdekaan. 

Maka gegak gempitalah dunia politik semasa Malaysia. Berbagai-bagai komen dibuat oleh ahli-ahli politik hingga jijik aku mendengarnya. Yang lebih sedih, ahli-ahli akademik turut menyumbang ke atas kekeliruan ini dengan kenyataan seperti Malaya tidak pernah dijajah dan sebagainya.

                                                                                                      malaysianinsider


Walaupun muak membaca kenyataan-kenyataan ahli politik daripada kedua-dua belah pihak, namun aku berterima kasih juga kontroversi ini berlaku. Ini kerana ianya membuka ruang diskusi dan wacana tentang satu topik yang aku rasa orang tak pernah ambil peduli pun sebelum ini, iaitu sejarah atau secara khususnya sejarah negara Malaysia. 

Pada pendapat aku, sejarah bukanlah milik mutlak mana-mana pihak. Ianya juga tidak bersifat rigid dan beku. Sejarah boleh disemak semula dan diberikan penafsiran baru tentangnya. Ini dapat kita lihat di negara Jepun misalnya, di mana sewaktu Perang Dunia Kedua, Maharaja Hirohito yang memerintah Jepun pada waktu itu tidak dibicarakan di mahkamah perang, berbeza dengan anggota tentera Jepun berpangkat tinggi yang lainnya.

Pandangan yang diambil ketika Amerika Syarikat sebagai kuasa yang menduduki Jepun pada waktu itu adalah Maharaja Jepun tidak mempunyai kuasa dalam menentukan arah tuju tentera Jepun pada dan hanya bertindak sebagai simbol sahaja. Segala keputusan yang dilakukan sewaktu Perang Dunia Kedua itu dilakukan oleh para jeneral tertinggi. 

                                                                                           wikimediacommons

Namun pendapat ini disanggah oleh ramai ahli sejarah yang berpendapat bahawa Maharaja Hirohito sememangnya mempunyai kuasa mutlak ke atas tentera Jepun dan beliau juga bertanggungjawab ke atas keputusan-keputusan yang diambil oleh tentera Jepun sewaktu perang tersebut berlaku. Malah dalam satu dokumentari yang aku tonton di History Channel beberapa bulan lepas, terdapat juga kempen oleh rakyat Jepun sendiri yang mahukan agar Maharaja Hirohito juga disenaraikan sebagai salah seorang penjenayah perang. 

Ini jelas menunjukkan bahawa sebagai satu subjek akademik, sejarah boleh diperdebatkan, didiskusi dan diwacanakan. Tidak seharusnya kita memegang hanya kepada satu versi atau sumber sahaja. Oleh itu tidak perlulah kita melatah sekiranya ada orang-orang yang memegang pandangan yang berlainan daripada kita, yang lain daripada versi 'rasmi' yang kita pegang selama ini lantas menuduh orang-orang ini pengkhianat negara, petualang, pembelot dan sebagainya.

Bagaimana sekiranya 50 tahun akan datang, dalam sejarah rasmi negara Iraq, pihak Amerika Syarikat akan ditulis sebagai 'liberators', tentera pembebasan yang menyelamatkan rakyat Iraq daripada kekejaman Saddam Hussein seterusnya membawa kepada kemajuan dan keharmonian negara Iraq, apa pendapat kamu? 

Oh ya, kepada mereka yang mahukan ISA dikenakan ke atas Mat Sabu (sebelum ISA dimansuhkan pada 16 September lalu), ingin aku bertanya daripada mana asal usul susur galur undang-undang itu? Siapa sebenarnya yang masih dijajah? 


Tonton: 

0 komen: