Isu serbuan JAIS ke atas program makan malam anjuran NGO Harapan Komuniti di Gereja DUMC atas tuduhan Krisitanisasi cukup menghangatkan suasana. Seperti biasa, pelbagai pihak telah mengambil kesempatan untuk mensensasikan isu ini hanya untuk mencari publisiti murahan, tanpa ada sebarang usaha yang benar-benar tulen untuk merungkaikan akar umbi peristiwa ini.
Biarpun muak mendengarkan tafsiran-tafsiran dan komen-komen murahan serta provokasi oleh ahli-ahli politik tentang perkara ini, di sudut hati aku sedikit sebanyak bersyukur juga isu ini timbul. Ini kerana ia membuatkan aku mengingatkan kembali tentang satu topik yang sering bermain-main difikiran aku, yang banyaknya menimbulkan persoalan namun jarang sekali memberikan jawapan.
Tentang kebebasan beragama.
Sekiranya kita melihat kepada undang-undang di negara ini, kita akan mendapati bahawa adalah dilarang bagi penganut agama lain untuk berdakwah kepada umat Islam. Selain itu, rancangan, program ataupun maklumat tentang agama selain daripada Islam tidak diberikan ruang di dalam media massa atau media umum, baik di dalam bentuk elektronik seperti televisyen mahupun media cetak seperti suratkhabar.
Dua persoalan yang sering muncul dalam benak fikiran aku.
Persoalan pertama; mengapa umat Islam di Malaysia begitu sensitif tentang gerakan agama & ajaran lain? Kita menghalang mereka untuk berdakwah kepada umat Islam, namun pada masa yang sama kita bersungguh-sungguh mahu menyebarkan ajaran agama Islam kepada mereka. Sifat sensitif terhadap ajaran agama lain ini begitu kuat dan menonjol, hingga lama-kelamaan pada pandangan aku ianya berubah menjadi sifat TAKUT.
Sekiranya benar kamu yakin dengan ajaran Islam, dengan 5 rukun Islam dan 6 rukun Imannya, kamu percaya bahawa agama ini adalah satu-satunya agama yang benar, agama yang diiktiraf oleh Allah SWT, maka mengapa kamu harus takut dengan ajaran "sesat" yang lain? Adakah iman dan akidah kamu begitu rapuh, senipis kulit bawang hinggakan hanya dijentik sedikit sahaja maka kamu sudah goyah? Ataupun sebenarnya kamu belum benar-benar meyakini tentang kebenaran agama Islam itu?
Persoalan kedua; bagaimana sekiranya negara-negara bukan Islam lain, Sepanyol misalannya, melaksanakan undang-undang seperti di Malaysia akan tetapi dengan sedikit perbezaan. Undang-undang mereka menghalang umat Islam pula untuk menyebarkan ajaran agama Islam kepada penganut agama lain. Apakah reaksi kita?
Pandangan & komentar kalian tentang dua persoalan ini amat saya hargai.
Nota: Tulisan ini bukanlah untuk menyeleweng ataupun mencipta keraguan dalam akidah anda. Sekadar ingin melontarkan pandangan dan mencabar persepsi yang biasanya dipegang oleh khalayak umum untuk menyemarakkan lagi ruang diskusi dan wacana.


0 komen:
Post a Comment