Tuesday, September 13, 2011

11 September

Hari Ahad yang lepas telah sepuluh tahun berlalu semenjak peristiwa serangan terhadap bangunan World Trade Centre di New York, Amerika Syarikat. Kerajaan di sana telah mengadakan satu majlis memorial untuk memperingati ulang tahun tragedi yang telah menimpa negara mereka ini. 

Sebagai seorang pelanggan Astro, aku dapat melihat pelbagai program tv diadakan di saluran-saluran seperti Discovery Channel & History Channel untuk mengenang kembali detik-detik peristiwa berdarah yang dikatakan "mengubah dunia" ini. 



Tidak seperti Tun Dr. Mahathir yang mengatakan bahawa serangan ini adalah satu konspirasi kerajaan Amerika Syarikat, aku percaya bahawa ianya benar-benar dilakukan oleh 19 orang yang mengaku beragama Islam tersebut. Aku fikir, kebanyakan daripada kita sukar untuk mempercayai bahawa orang-orang ini mampu untuk melakukan serangan tersebut adalah kerana kita tidak dapat menerima bahawa orang-orang yang beragama Islam ini sanggup untuk bertindak kejam ke atas sebegitu ramai orang-orang yang tidak berdosa. 

Di dalam fikiran kita, Islam adalah agama yang suci, mulia dan aman. Tidak mungkin seseorang yang mengakui bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, dan Allah adalah Tuhan yang Esa boleh berbuat demikian!

Jawapan aku; ya, orang Islam juga mampu melakukan itu semua. Ada orang Islam yang merompak, mencuri, berzina, merogol dan minum arak. Orang Islam juga mampu membunuh. 

Namun, dalam kesibukan Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa memperingati tragedi ini, ada dua perkara yang aku lihat seolah-olah mereka terlupa akannya. 


Pertama, apakah motif mereka menyerang Amerika Syarikat? 

Hairan, setelah sepuluh tahun kejadian itu berlaku, motif serangan tersebut seolah-olah tidak dipedulikan, kadang kala kelihatan disorok pula daripada pengetahuan masyarakat antarabangsa dan rakyat Amerika khususnya. Adakah kerana sebenarnya motif serangan tersebut adalah kerana polisi luar negara Amerika Syarikat terhadap negara-negara di Timur Tengah, hubungan mereka dengan Israel misalnya, yang menyebabkan mereka tidak mahu ianya diwar-warkan? Ini kerana ianya akan memberikan satu implikasi besar, menyebabkan rakyat Amerika mula melihat serangan ini dari satu perspektif dan 'angle' yang lain, seterusnya memaksa Amerika Syarikat untuk terpaksa mengubah dasar luar mereka. 

Kedua, mengapa tiada seorang pun yang membicarakan tentang soal Iraq? Bagaimana George Bush dan Tony Blair telah berbohong tentang 'weapons of mass destruction' yang kononnya dimiliki oleh Saddam Hussein (yang akhirnya diketahui tidak wujud) untuk menjustifikasi peperangan mereka di Iraq?Malah, Iraq juga telah dituduh mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda yang dikaitkan dengan serangan ke atas bangunan WTC tersebut. Bagaimana dengan nasib rakyat di sana? Beratus-ratus ribu orang tidak bersalah telah mati di sana, lebih daripada korban bangunan WTC kerana satu peperangan yang dilancarkan atas pembohongan. 



Ya, kejadian 11 September sememangnya adalah satu tragedi, dan aku bersimpati dengannya. Namun, disebalik kesedihan itu tidak seharusnya menjadikan masyarakat antarabangsa & rakyat Amerika khususnya buta, lalu membiarkan dua persoalan ini terkubur begitu sahaja tanpa sebarang jawapan daripada kerajaan Amerika Syarikat. 

2 komen:

Encik Din said...

Tun has his own fantasy.

Namun kegagalan US dalam memberi gambaran sebenar sebab kejadian ini membuatkan ramai orang percaya kepada teori fantasi seperti yang dikemukakan Tun.

Ditambah lagi dengan serangan ke atas Afghan dan Iraq, menguatkan lagi teori-teori tersebut.

Walau apa pun sebabnya, kita tidak harus lupa dengan mangsa-mangsa yang menjadi korban dalam kejadian-kejadian tersebut. Baik mangsa 911 mahupun mangsa serangan US ke atas Afghan dan Iraq.

Ini ialah peristiwa lanjutan daripada peristiwa epik yang terjadi semasa perebutan anak-anak nabi Adam terhadap kembar mereka. Akibat sifat tamak dan iri hati sesama manusia dibunuh tanpa belas.

Apa agaknya perasaan pembunuh-pembunuh ini ketika melihat manusia-manusia berterbangan dari WTC ataupun kanak-kanak yang disembelih di Afghan dan Iraq.

Kamarul Adli Bachek said...

kenapa org suka sgt quote TDM ni ye? dia ni Minister Mentor mcm Lee Kuan Yew ke?

Tapi seriously aku rasa pelik gila takde pun dalam program2 memperingati sept 11 ni org cakap pasal Iraq.

kamon la, dah nampak perang tu atas dasar penipuan. ramai org mati & negara US bangkrap psl perang tu.