
Filem terbaru Will Smith, I Am Legend mengisahkan tentang Dr. Robert Neville yang mungkin merupakan satu-satunya manusia yang masih hidup di bumi setelah virus Krippin meragut 90% daripada populasi bumi, manakala selebihnya bermutasi menjadi zombie ataupun menjadi lauk bagi para zombie tersebut.Filem ini merupakan adaptasi ketiga novel dengan tajuk yang sama karya Richard Matheson, selepas The Last Man on Earth (1964) dan The Omega Man (1971).
Aku baru sahaja menonton filem ini beberapa hari yang lepas, dan apa yang menyebabkan aku tertarik untuk membayar tiket RM 11 dan bersengkang mata pada jam 12.30 malam di Cineleisure adalah kerana premis filem ini, iaitu kemungkinan hanya ada satu orang manusia sahaja yang masih normal hidup di dunia ini.
Walaupun pada mulanya aku rasa agak ragu-ragu apabila mengetahui pengarahnya adalah Francis Lawrence, iaitu sutradara bagi filem Constantine yang aku rasa agak crap, namun aku gagahkan jiwa aku untuk memberi beliau peluang mengejutkan aku. Cheewaahh.
Jadi, apa pendapat aku tentang filem ini (gunakan tone yang membayangkan pendapat aku adalah penting amat untuk dunia filem Hollywood)?
Jujurnya, first half filem ini bagi aku berjaya dan amat menarik. Francis Lawrence telah menggunakan teknik seperti dalam filem Castaway, iaitu suasana senyap tanpa sebarang skor muzik untuk membayangkan sebuah bandar tanpa manusia, serta apa yang dirasai oleh Robert Neville sebagai satu-satunya manusia yang wujud disitu. Bagi aku, teknik ini amat efektif. Sesekali, kita juga perlukan masa untuk seorang diri dan aman tanpa sebarang bunyi dan gangguan. Tapi bagaimana pula kalau keadaan itu berlarutan hingga tiga tahun seperti yang dialami Robert?

Scene Robert bercakap dengan patung seumpama mereka itu manusia hidup juga bagi aku amat tense dan sedih pada masa yang sama. Menggambarkan betapa Robert begitu rindukan, memerlukan interaksi dengan seseorang, biarpun dia terpaksa membayangkannya dengan objek yang tidak bernyawa.
Namun, apabila sahaja zombie tu keluar, aku rasa cerita ni tiba-tiba jadi flat. Filem ini terus jadi filem aksi yang biasa dan penuh dengan plot holes. Pertama, tak seram langsung makhluk tu. Malah bagi aku tak kena pulak gunakan CGI untuk menggambarkan zombie tu dalam cerita ni. Bagi aku scene masa En.Robert kita tidur dalam bathtub di rumah dengan anjing peliharaan dia itu, dengan suara-suara zombie menjadi latar belakang lebih menyeramkan.
Begitu juga scene sewaktu dia mula-mula masuk dalam sarang atau penempatan makhluk zombie itu. Scene tu memang buat aku mencarut juga dalam hati akibat ketakutan. Amma.
Namun, macam yang aku cakap tadi. Zombie-zombie tu memang tak seram, sekali tengok macam kartun pun ada. Kemudian yang menimbulkan persoalan dalam benak aku, bagaimana karekter Anna dan Ethan tu boleh sampai ke Manhattan, walhal kalau kita tengok, jambatan nak menyeberang ke pulau itu sudah dimusnahkan pihak tentera.
Lepas tu macamana seorang wanita dewasa dan seorang budak lelaki yang umurnya lebih kurang dalam 11 tahun boleh menyelamatkan Robert daripada dibaham oleh zombie yang jumlahnya berpuluh-puluh tu pun aku tak pasti. Sedangkan si Robert tu pun terkucil bila masuk dalam sarang zombie tu, diorang boleh rilek aje menyelamatkan dia. Hmmm....
Apapun, aku kira filem ini terselamat kerana lakonan mantap daripada Will Smith sebagai Robert Neville. Perhatikan scene sewaktu dia bersama dengan anjingnya, Sam, yang sudah berjangkit dengan virus itu, dan apa yang perlu dia lakukan seterusnya. Itu bagi aku, salah satu highlight dalam filem ini.

I Am Legend adalah sebuah filem yang punya potensi, tapi ia tidak berani mencungkil sedalam-dalamnya untuk mengeluarkan potensi itu, lalu terasa filemnya seperti separuh masak.Gila babi betul penggunaan ayat-ayat aku dalam entri ni.
Sekian.